Sunday, November 21, 2010

Wajib Baca Al-Quran Setiap Sekolah Di Terengganu

Sepanjang minggu lepas saya tertarik dengan berita mengenai langkah yang murni oleh Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Razali Daud mengenai pembacan Al-Quran selama 10 minit sebelum sesi pengajaran bermula. Hal ini bermakna mulai sesi 2011, semua sekolah di negeri Terengganu akan memulakan sesi pembelajaran dengan membaca Al-Quran selama 10 minit bagi yang beragama Islam. Bagi murid-murid yang bukan beragama Islam terutamanya di sekolah jenis kebangsaan, ustaz akan digunakan untuk menguruskannya secara berkumpulan.

Menurut Razali, aktiviti ini adalah sebahagian daripada pihak JPNT untuk memberi penekanan yang serius kepada pembangunan sahsiah seiring dengan kecemerlangan dalam bidang akademik. Selain itu juga, aktiviti ini mampu melahirkan pelajar yang berakhlak mulia sekaligus dapat mengurangkan masalah disiplin dan sosial yang berlaku dalam kalangan murid-murid pada zaman sekarang.

Pada pandangan saya, tindakan JPNT adalah wajar dan patut dicontohi oleh semua negeri kerana impaknya sangat besar terhadap murid-murid untuk melahirkan modal insan yang seimbang dalam semua aspek. Dewasa kini, banyak kita lihat masalah disiplin dan sosial pelajar yang berlaku sehingga di luar pemikiran kita. Banyak masalah disiplin seperti ponteng, merokok, membuli, vandalisme dan banyak lagi sering berlaku dan dilaporkan di dalam media massa. Selain itu, masalah sosial yang semakin teruk dalam kalangan murid-murid kita zaman sekarang sangat membimbangkan.

Dalam membendung dan mengatasi masalah ini secara menyeluruh, penyelesaian yang terbaik seharusnya kita mengenal pasti punca sebenar masalah ini berlaku. Jika kita dapat mengawal masalah ini di peringkat awal lagi, saya pasti masalah ini tidak akan berlaku. Langkah yang dijalankan oleh pihak JPNT adalah tepat pada masanya kerana dalam keadaan moral murid-murid semakin jatuh, aktiviti ini dijalankan. Walaupun dilihat agak terlambat, tetapi sekurang-kurangnya ia mampu mengawal masalah ini supaya tidak menjadi semakin parah.

Dengan langkah ini, penerapan nilai keagamaan akan dapat melahirkan murid-murid yang menghayati nilai-nilai keagamaan dan mengatasi masalah murid-murid yang buta Al-Quran. Pelaksanaan aktiviti ini oleh pihak JPNT dilihat mampu meningkatkan pencapaian murid-murid dalam peperiksaan sekaligus melonjakkan nama negeri Terengganu sebagai negeri yang melahirkan murid-murid yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi mempunyai akidah dan akhlak yang tinggi selaras dengan visi kerajaan negeri menjadikan negeri Terengganu sebagai negeri Ulul Albab...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...