Sunday, November 14, 2010

Simbolik Hari Raya Aidiladha

Setiap tahun umat Islam akan menyambut Hari Raya Korban ataupun Hari Raya Aidiladha. Aidiladha membawa erti yang besar kepada umat Islam di seluruh dunia. Hari Raya Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Haji sempena umat islam mengerjakan haji di Tanah Suci, Mekah.


Hari Raya Aidiladha ini adalah berkaitan dengan peristiwa Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail selepas menerima wahyu daripada Allah. Peristiwa ini bermula apabila Nabi Ibrahim bermimpi bahawa Allah menyuruhnya menyembelih anaknya Nabi Ismail. Selepas mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim memberitahu isterinya Siti Hajar tentang mimpinya. Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar berbincang tentang mimpi tersebut.Selepas berbincang akhirnya Nabi Ismail merelakan dirinya disembelih kerana percaya ini adalah wahyu daripada Allah.


Pada keesokkan harinya, Nabi Ibrahim membawa puteranya untuk disembelih. Perkara ini telah sampai ke pengetahuan orang ramai sehingga mereka mengatakan Nabi Ibrahim ini gila kerana sanggup membunuh anaknya.Nabi Ibrahim tetap menjalankan wahyu yang diturunkan oleh Allah walaupun pelbagai tuduhan dilemparkan kepadanya. Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya, “Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku.”


Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah S.W.T perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.

Tetapi alangkah terperanjatlah apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah S.W.T, kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat dari Allah S.W.T.(Peristiwa ini ada diterangkan dalan surah Ash-Shaffat ayat 101 hingga ayat 111)
Berdasarkan daripada peristiwa diatas menunjukkan ketaatan Nabi Ibrahim terhadap Allah. Pada perayaan Hari Raya Korban ini kita akan teringat kepada peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail serta menyembelih binatang korban dan  dagingnya untuk diagihkan kepada fakir miskin. Tetapi erti pengorbanan adalah luas dan patut difahami oleh semua umat Islam.
Dalam Konteks mahasiswa, kita sepatutnya perlu menghayati erti pengorbanan yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Sebagai seorang yang berpendidikan, kita mesti mempunyai semangat dalam diri untuk mempertahankan Kesucian islam daripada dicemari dengan perkara-perkara yang boleh menjatuhkannya. Jika kita menghayati erti pengorbanan yang sebenar, masalah sosial yang berlaku dalam kalangan mahasiswa pada masa kini dapat diatasi sekaligus mampu melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga dalam sahsiah. Masalah zina, khalwat, buang bayi dan bunuh juga tidak akan berlaku jika kita semua memahami dan menghayati erti pengorbanan yang sebenar.
Oleh itu, sebagai seorang mahasiswa yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, kita Wajib mengambil iktibar daripada peristiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ini untuk dijadikan teladan kepada kita semua dalam menjalani kehidupan pada zaman serba mencabar ini yang penuh dengan tipu daya dunia demi mempertahankan kesucian Agama Islam.
Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha.....


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...