Saturday, January 22, 2011

PTPTN:Masalah Sama Berulang

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional

Nampaknya isu PTPTN menjadi isu yang panas diperkatakan di UPSI oleh semua mahasiswa/i sehingga ianya dipolitikkan oleh sesetengah mahasiswa/i untuk meraih perhatian menjelang piliharaya kampus (PRK). Jika dilihat sebelum ini, kemasukan wang pinjaman PTPTN sememangnya bermasalah di UPSI sehinggakan ianya banyak memberi kesan kepada mahasiswa/i sehinggakan sesi pengajaran sering terganggu terutamanya untuk mendapatkan barang keperluan untuk pembelajaran seperti buku-buku rujukan dan sebagainaya.

Masalah PTPTN ini dikatakan berpunca daripada pihak akademik UPSI yang menghantar lambat keputusan peperiksaan kepada pihak PTPTN. Tarikh akhir keputusan peperiksaan sepatutnya dihantar sebelum 20 Disember 2010 kepada pihak PTPTN tetapi pihak akademik UPSI hanya mengumumkan keputusan peperiksaan pada 24 Disember 2010 selepas mesyuarat jawatankuasa peperiksaan. Hal ini dikatakan salah satu punca mengapa pinjaman PTPTN lambat dikreditkan ke dalam akaun pelajar.Namun sejauhmana kebenarannya masih belum diketahui kerana pihak pentadbiran UPSI sendiri mengambil langkah mendiamkan diri dalam memberi penjelasan yang sebenar berkaitan dengan isu ini.


Keengganan pihak pentadbiran UPSI dalam memberikan penjelasan menyebabkan isu ini dieksploitasi oleh beberapa pihak dalam mengeluarkan pelbagai cerita dan kenyataan salah mengenai isu ini. Banyak blog membincangkan dan mengkritik pihak pentadbiran UPSI dan pihak MPP sendiri yang tidak memainkan peranan dalam menangani masalah ini. Di Facebook pula pelbagai rungutan dan luahan rasa tidak puas hati terhadap isu ini sehingga wujudnya kumpulan yang mahu wang PTPTN masuk cepat. Keadaan ini semua sememangnya banyak menimbulkan kegelisahan kepada mahasiswa/i sekaligus boleh menimbulkan perasaan benci kepada pihak pentadbiran UPSI dan MPP.
                                             

Masalah ini tidak selesai di situ sahaja apabila satu referendum telah dijalankan oleh pihak yang menggelarkan dirinya sebagai Mahasiswa Pendidik. Referendum ini dijalankan di sekitar kampus dan kolej-kolej kediaman bertujuan untuk mengumpul tandatangan sebagai tanda sokongan mahasiswa/i untuk mempercepatkan kemasukan wang pinjaman PTPTN. Langkah yang diambil oleh golongan ini adalah satu cara yang menunjukkan keperihatinan golongan ini dalam menyelesaikan masalah mahasiswa/i UPSI. Namun yang menjadi persoalannya adakah langkah ini akan memberi kesan ataupun mampu memberi tekanan kepada pihak UPSI dan PTPTN itu sendiri dalam menangani masalah ini. Walau bagaimanapun, ini merupakan salah satu usaha untuk membantu mahasiswa dalam menyelesaikan masalah ini.

Masalah ini menjadi tenang seketika selepas pihak pentadbiran UPSI akhirnya bersetuju untuk mengkreditkan duit sebanyak RM 250 sebagai pendahuluan ke dalam akaun pelajar pada 19 Januari (Khamis). Kesanggupan pihak UPSI menggunakan duit universiti untuk membantu pelajar ini membuktikan keperihatinannya dalam membantu pelajar untuk perbelanjaan harian. Kemasukan wang pendahuluan ini sememangnya banyak membantu mahasiswa/i untuk menampung perbelanjaan harian terutamanya berkaitan dengan pembayaran rumah sewa dan sebagainya. Kemasukan duit pendahuluan ini menyebabkan mesin-mesin ATM di sekitar kampus dan kolej-kolej kediaman dipenuhi mahasiswa/i yang ingin menggunakan duit sekaligus menunjukkan bahawa sememangnya mereka berada dalam keadaan memerlukan.

PTPTN dijangka akan mengkreditkan wang ke dalam akaun pelajar seawal-awalnya 31 Januari. Maklumat ini telah disebarkan sendiri oleh pihak PTPTN melalui sms yang dihantar kepada semua pemimjam. Pengumuman PTPTN ini sebenarnya banyak memberi kelegaan kepada semua mahasiswa/i yang sebelum ini tidak mengetahui secara tepat tarikh wang akan dikreditkan ke dalam akaun kerana terlalu banyak tarikh yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu. Harapan saya semoga semua mahasiswa/i bersabar dan tidak mudah terpengaruh dengan khabar-khabar angin yang tidak sahih dan gunakan wang pendahuluan yang diberikan secara berhemah dan mengutamakan benda yang penting dahulu untuk dibeli. sekian...

Sunday, January 16, 2011

Interlok:Siapa Sebenarnya Rasis???

Novel Interlok yang menjadi Kontrovesi

Sejak akhir-akhir ini, isu novel Intelok menjadi isu hangat diperdebatkan di dada-dada akhbar. Novel Interlok merupakan sebuah novel yang dipilih untuk dijadikan bahan Kesusasteraan yang digunakan dalam pembelajaran Bahasa Melayu di Tingkatan lima mulai tahun ini.

Jika kita melihat kronologi tentang isu ini bermula dengan penentangan oleh beberapa orang pemimpin tertinggi negara yang terdiri daripada bangsa India dan diikuti oleh NGO-NGO lain seperti Persekutuan Pertubuhan India Malaysia (PRIMA) dan sebagainya yang menyatakan Interlok ini tidak memberi gambaran yang betul tentang masyarakat India. Isu ini kembali meruncing dan memuncak apabila novel Interlok dan gambar pengarangnya iaitu Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain dibakar di hadapan Dewan Sentosa Majlis Perbandaran Kelang (MPK) pada 8 Januari lalu. Keadaan ini telah menyebabkan banyak NGO dan persatuan penulis mula menunjukkan reaksi spontan dengan mengutuk dan membuat laporan polis terhadap perbuatan tidak bertanggungjawab itu . Keadaan ini juga menyebabkan ada sesetengah pihak menggesa pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menarik balik kelulusan penggunaan buku ini yang sekaligus mendapat tentangan hebat daripada persatuan penulis terutamanya yang bernaung di bawah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Novel Interlok dibakar

Novel Intelok ini sebenarnya menceritakan bagaimana gerakan orang Melayu menentang Malayan Union serta bagaiman orang India dan Cina mempunyai kesedaran tentang tanah air baharunya yang menyaksikan gerakan ketiga-tiga kaum ini adalah seiring dalam mecapai matlamat yang sama. Dalam novel ini juga menceritan bagaimana cara hidup dan budaya masyarakat Melayu (Seman), masyarakat Cina (Cing Huat) dan masyarakat India (Maniam). Namun yang menjadi kontrovesinya ialah tentang masyarakat India yang berkaitan dengan sistem kasta dan penggunaan perkataan "paria".

Sasterawan Negara: Datuk Abdullah Hussain menangis selepas novelnya dibakar

Jika dilihat secara keseluruhan novel ini, ianya sebenarnya tidak mempunyai masalah tetapi sarat dengan nilai-nilai sejarah dan gambaran tentang keadaan kehidupan masyarakat Malaysia pada ketika itu. Malah ramai ahli-ahli akademik dan politik sendiri membaca buku ini bersetuju mengatakan bahawa novel setebal 426 halaman ini tidak mempunyai unsur-unsur perkauman ataupun perkara yang menyinggung mana-mana pihak. Persoalannya adakah tangan-tangan halus di luar sana yang sengaja memainkan isu ini untuk kepentingan tertentu. Ramai juga yang ahli-ahli bahasa menyelar beberapa ahli politik yang cuba untuk mempolitikkan isu ini semata-mata untuk kepentingan mereka tanpa memikirkan kesan terhadap bidang pendidikan negara. Mengapa kita perlu berfikiran dangkal tanpa melihat secara keseluruhan nilai yang begitu padat dengan unsur-unsur perpaduan dan toleransi antara kaum ingin disampaikan.

Bagi penulis, kita seharusnya terlebih dahulu mengkaji dan memahami secara keseluruhan sebelum bertindak. Jika kita tidak memahaminya tidak perlulah malu untuk bertanya kepada orang yang lebih tahu. Jika kita bertindak tanpa memikirkan kesannya seolah-olah kita mendedahkan kelemahan dan kebodohan kita pada orang lain. Kepada Sasterawan Negara, tahniah kerana anda mampu menghasilkan sebuah novel yang baik untuk pengetahuan sejarah dan langkah KPM memilih novel ini sebagai sebuah komponen dalam Kesusateraan Melayu untuk diajar di sekolah menengah adalah tepat. Sekian..

Antara petikan yang menjadi kontrovesi:

Di dalam kapal ini dia tidak susah. Sebahagaian besar daripada penumpang dekyang bersama-samanya itu dapat bercakap dalam satu bahasa sahaja, bahasa Tamil. Mereka yang dari arah utara sedikitbercakap bahasa Malayalam atau Telugu, tetapi hampir semuanya tahu bahasa Tamil. Malayalam dan Telugupun berasaldari satu rumpun bahasa Dravidia. Satu perkara besar membuatkan mereka senang bergaul adalah kerana mereka tergolong dalam satu kasta Paria. Mereka tidak perlu takut akan mengotori sesiapa kalau bersentuhan. Mereka juga bebas bergaul. Tempat di dalam kapal itu tidak teratur.Mereka berasak-asak seperti kambing. (halaman 211)

Semangat Tahun Baru 2011


Alhamdulillah, pertama sekali penulis ingin melahirkan kesyukuran kepada Allah S..W.T kerana dipanjangkan umur untuk meneruskan kehidupan pada tahun 2011. Sempena tahun baru ini, penulis ingin mengucapkan selamat menyambut tahun baru 2011 semoga tahun ini banyak memberi kejayaan kepada anda semua dan yang penting tahun 2011 ini adalah lebih baik daripada tahun 2010.

Pada kesempatan ini juga, penulis ingin mengucapkan selamat memulakan semester 2 kepada semua mahasiswa di seluruh IPT. Tahniah juga diucapkan kepada semua mahasiswa yang memperolehi Senarai  Dekan dalam peperiksaan semester lepas dan teruskan usaha anda untuk mengekalkan pada semester ini. Kepada yang akan menjalani praktikum pada bulan Februari ini, selamat menjalani praktikum.

Semoga tahun 2011 ini lebih banyak memberi pengalaman yang berharga kepada kita semua. Sesungguhnya pengalaman akan mematangkan dalam mengharungi kehidupan di masa hadapan...

selamat maju jaya kepada semua!!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...