Saturday, January 22, 2011

PTPTN:Masalah Sama Berulang

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional

Nampaknya isu PTPTN menjadi isu yang panas diperkatakan di UPSI oleh semua mahasiswa/i sehingga ianya dipolitikkan oleh sesetengah mahasiswa/i untuk meraih perhatian menjelang piliharaya kampus (PRK). Jika dilihat sebelum ini, kemasukan wang pinjaman PTPTN sememangnya bermasalah di UPSI sehinggakan ianya banyak memberi kesan kepada mahasiswa/i sehinggakan sesi pengajaran sering terganggu terutamanya untuk mendapatkan barang keperluan untuk pembelajaran seperti buku-buku rujukan dan sebagainaya.

Masalah PTPTN ini dikatakan berpunca daripada pihak akademik UPSI yang menghantar lambat keputusan peperiksaan kepada pihak PTPTN. Tarikh akhir keputusan peperiksaan sepatutnya dihantar sebelum 20 Disember 2010 kepada pihak PTPTN tetapi pihak akademik UPSI hanya mengumumkan keputusan peperiksaan pada 24 Disember 2010 selepas mesyuarat jawatankuasa peperiksaan. Hal ini dikatakan salah satu punca mengapa pinjaman PTPTN lambat dikreditkan ke dalam akaun pelajar.Namun sejauhmana kebenarannya masih belum diketahui kerana pihak pentadbiran UPSI sendiri mengambil langkah mendiamkan diri dalam memberi penjelasan yang sebenar berkaitan dengan isu ini.


Keengganan pihak pentadbiran UPSI dalam memberikan penjelasan menyebabkan isu ini dieksploitasi oleh beberapa pihak dalam mengeluarkan pelbagai cerita dan kenyataan salah mengenai isu ini. Banyak blog membincangkan dan mengkritik pihak pentadbiran UPSI dan pihak MPP sendiri yang tidak memainkan peranan dalam menangani masalah ini. Di Facebook pula pelbagai rungutan dan luahan rasa tidak puas hati terhadap isu ini sehingga wujudnya kumpulan yang mahu wang PTPTN masuk cepat. Keadaan ini semua sememangnya banyak menimbulkan kegelisahan kepada mahasiswa/i sekaligus boleh menimbulkan perasaan benci kepada pihak pentadbiran UPSI dan MPP.
                                             

Masalah ini tidak selesai di situ sahaja apabila satu referendum telah dijalankan oleh pihak yang menggelarkan dirinya sebagai Mahasiswa Pendidik. Referendum ini dijalankan di sekitar kampus dan kolej-kolej kediaman bertujuan untuk mengumpul tandatangan sebagai tanda sokongan mahasiswa/i untuk mempercepatkan kemasukan wang pinjaman PTPTN. Langkah yang diambil oleh golongan ini adalah satu cara yang menunjukkan keperihatinan golongan ini dalam menyelesaikan masalah mahasiswa/i UPSI. Namun yang menjadi persoalannya adakah langkah ini akan memberi kesan ataupun mampu memberi tekanan kepada pihak UPSI dan PTPTN itu sendiri dalam menangani masalah ini. Walau bagaimanapun, ini merupakan salah satu usaha untuk membantu mahasiswa dalam menyelesaikan masalah ini.

Masalah ini menjadi tenang seketika selepas pihak pentadbiran UPSI akhirnya bersetuju untuk mengkreditkan duit sebanyak RM 250 sebagai pendahuluan ke dalam akaun pelajar pada 19 Januari (Khamis). Kesanggupan pihak UPSI menggunakan duit universiti untuk membantu pelajar ini membuktikan keperihatinannya dalam membantu pelajar untuk perbelanjaan harian. Kemasukan wang pendahuluan ini sememangnya banyak membantu mahasiswa/i untuk menampung perbelanjaan harian terutamanya berkaitan dengan pembayaran rumah sewa dan sebagainya. Kemasukan duit pendahuluan ini menyebabkan mesin-mesin ATM di sekitar kampus dan kolej-kolej kediaman dipenuhi mahasiswa/i yang ingin menggunakan duit sekaligus menunjukkan bahawa sememangnya mereka berada dalam keadaan memerlukan.

PTPTN dijangka akan mengkreditkan wang ke dalam akaun pelajar seawal-awalnya 31 Januari. Maklumat ini telah disebarkan sendiri oleh pihak PTPTN melalui sms yang dihantar kepada semua pemimjam. Pengumuman PTPTN ini sebenarnya banyak memberi kelegaan kepada semua mahasiswa/i yang sebelum ini tidak mengetahui secara tepat tarikh wang akan dikreditkan ke dalam akaun kerana terlalu banyak tarikh yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu. Harapan saya semoga semua mahasiswa/i bersabar dan tidak mudah terpengaruh dengan khabar-khabar angin yang tidak sahih dan gunakan wang pendahuluan yang diberikan secara berhemah dan mengutamakan benda yang penting dahulu untuk dibeli. sekian...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...