Saturday, December 25, 2010

Permainan Tradisional Perlu Dipertahankan

Wakil SRN daripada UPSI

Sejak zaman dahulu lagi mainan tradisional merupakan permainan utama yang dimainkan oleh penduduk di tanah Melayu untuk mengisi masa lapang. Permainan ini merupakan permainan yang diwarisi sejak turun-temurun daripada satu generasi ke generasi yang lain. Namun, sejak kebelakangan ini, mainan tradisional mula dilupai oleh golongan muda akibat daripada perubahan zaman yang lebih menumpukan kepada permainan moden.

Menyedari hakikat ini, Pihak Sekretariat Rukun Negara Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama daripada pihak Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (JPNIN) dan Jabatan Warisan Negara menganjurkan program Sukan Rakyat 1 Malaysia pada 10 Disember sehingga 12 Disember 2010 bertempat di Universiti Sains Malaysia Kampus Nibong Tebal. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang permainan tradisional yang terdapat di Malaysia. Selain itu, program ini juga mampu membudayakan permainan tradisional untuk semua kaum di Malaysia selaras dengan konsep 1 Malaysia.

Sepanjang dua hari berlangsung, para peserta diberi taklimat tentang jenis-jenis dan syarat-syarat permainan tradisional mengikut piawaian yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Warisan Negara. Selepas itu, para peserta ditunjukkan cara permainan tradisional dimainkan melalui demonstrasi yang dilakukan oleh pegawai-pegawai yang dilantik. Sebanyak sepuluh permainan tradisional telah dipilih oleh pihak penganjur untuk diketengahkan dalam program ini iaitu ketingting, gusti lengan, galah panjang, laga ayam, sepak raga, konda-kondi, ketuk keli, congkak, dam haji dan batu seremban.

Program ini telah telah disertai oleh beberapa buah IPT seperti Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Mara (uitm Perlis), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dan Universiti Malaysia Pahang (UMP). Pihak UPSI telah menghantar seramai 25 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli SRN bersama-sama dengan seorang pegawai pengiring. Kemuncak program ini ialah pertandingan sukan tradisional bersama komuniti setempat yang disaksikan oleh pegawai-pegawai daripada JPNIN.
 Fasilitator menunjukkan permainan Laga Ayam


Taklimat permainan tradisional  

Pertandingan Konda-Kondi

Antara peserta bersama komuniti setempat

Pertandingan Laga Ayam

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...