Tuesday, December 7, 2010

Mahasiswa Perlu Berhijrah

Hari ini 1 Muharam menandakan bermulanya tahun baru 1432H dalam kalander Islam. Ketibaan tahun baru ini disambut oleh semua umat Islam di seluruh pelusuk dunia bagi meraikan sekaligus menghayati erti hijrah yang sebenarnya. Ketibaan bulan Muharam ini sebenarnya menceritakan banyak peristiwa yang menggambarkan kesungguhan dan kecekalan junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehinggalah Islam disegani dan digeruni seluruh dunia. Peristiwa hijrah juga membuktikan bahawa semangat pengorbanan diperlukan dalam memenuhi tuntutan agama.

Namun tuntutan hijrah pada masa masa kini lebih jauh berbeza dengan tuntutan hijrah pada era Mekkah dan Madinah pada zaman Rasulullah S.A.W dan para sahabat. Dengan senario keadaan sekarang yang penuh dengan cabaran dan dugaan, mahasiswa perlu lebih bersedia dalam menghadapi dan mengharunginya secara tabah. Mahasiswa juga perlu melakukan perubahan dalam diri mereka bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus globalisasi yang serba mencabar ini dengan melakukan transformasi dalam semua aspek kehidupan merangkumi cara hidup, berfikir dan bertindak supaya ianya selaras dengan tuntutan agama.

Jika dilihat pada masa sekarang, masalah sosial merupakan perkara utama yang melanda golongan mahasiswa tidak kira di mana-mana IPTA/S sekalipun. Masalah ini seolah-olah menjadi duri dalam daging pada golongan mahasiswa walaupun pada hakikatnya golongan ini merupakan golongan yang mempunyai intelek yang tinggi. Jika masalah ini melanda golongan yang tidak berpendidikan tinggi boleh dimaafkan lagi kerana mungkin mereka tidak mempunyai pengetahuan yang jelas dan mendalam tentang agama berbanding denga golongan mahasiswa. Kini berbagai-bagai masalah sosial sudah menular dalam kalangan mahasiswa seperti bohsia, khalwat, zina, buang bayi, dadah, minum arak, pelacuran dan sebagainya.

Oleh itu, semua mahasiswa wajib menghayati erti peristiwa hijrah ini dalam kehidupan untuk melakukan perubahan supaya kita tidak akan terus bergelumang dengan dosa sekaligus akan menghancurkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Kita sebagai mahasiswa sebenarnya cerminan masa hadapan negara dan jika mahasiswa pada zaman sekarang hanyut dengan godaan dunia, masa depan negara mungkin akan terjejas dan tidak menentu. Mahasiswa seharusnya tahu tentang batas-batas pergaulan dan bijak membuat keputusan dalam sesuatu perkara. Kekuatan jati diri juga perlu dalam menangkis segala bentuk pengaruh dan budaya kuning yang sentiasa mendekati diri mahasiswa.

Dalam aspek pemikiran pula, mahasiswa perlu lebih kreatif dan inovatif dalam semua aspek terutamanya pada zaman sekarang yang serba mencabar. Pemikiran kelas pertama harus dipupuk bagi memastikan mahasiswa zaman sekarang lebih kompiten sekaligus menghasilkan mahasiswa yang betul-betul berkualiti. Kita seharusnya mencontohi bagaimana pemikiran orang Jepun yang sentiasa melakukan perubahan dan konsisten dalam melakukan sesuatu kerja sehinggakan mereka menjadi rakyat yang disegani seluruh dunia. Semangat dan iltizam yang tinggi inilah sepatutnya menjadi contoh kepada mahasiswa untuk digarap dalam kehidupan seharian dan bukannya mencontohi budaya barat yang penuh dengan hiburan semata-mata.

Sempena sambutan Maal Hijrah ini, penulis mengajak semua mahasiswa agar dapat merenung kembali segala tindakan kita pada tahun lepas dan kembali merancang untuk membuat penambahbaikkan untuk tahun ini. Jadikan segala peristiwa dan perbuatan tahun lepas sebagai pengajaran dan berusaha untuk memastikan tahun ini sebagai tahun yang memberi perubahan ke arah kebaikan. Sesungguhnya manusia yang baik itu sentiasa belajar daripada kesilapan serta jadikanlah hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Semoga kedatangan tahun baru 1432H ini memberi sejuta kerahmatan dan hidayah daripada Allah dan kita sama-sama berusaha untuk melakukan perubahan dalam kehidupan seharian...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...