Saturday, December 25, 2010

Selamat Menyambut Hari Natal

Selamat menyambut Hari Natal kepada semua mahasiswa yang beragama Kristian. Semoga Ikatan kekeluargaan dan persahabatan terus kekal terjalin tidak mengira bangsa dan agama.


Baktisiswa Perdana SRN: Khidmat Masyarakat Mahasiswa Penyayang


Sekretariat Rukun Negara Universiti Pendidikan Sultan Idris (SRNUPSI) telah menganjurkan Baktisiswa Perdana Sekretariat Rukun Negara "Khidmat Masyarakat Mahasiswa Penyayang" yang membabitkan beberapa buah IPTA/S yang mempunyai Sekretariat Rukun Negara. Program yang mendapat sokongan penuh daripada pihak Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (JPNIN) ini berlangsung selama seminggu bermula 16 Disember sehingga 23 Disember 2010 bertempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Kampung Sepakat Jaya, Parit Perak.

Program ini merupakan program berbentuk khidmat masyarakat oleh golongan mahasiswa di sebuah perkampungan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi memberi peluang kepada golongan ini untuk berkongsi pengalaman dan ilmu yang ada kepada masyarakat disamping mampu meniup semangat penduduk kampung untuk berjaya. Sebelum bergerak ke kampung, para peserta terlebih dahulu berkumpul di UPSI untuk membuat persiapan dan berkenalan antara peserta yang terdiri daripada 8 buah IPTA/S iaitu Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dan tuan rumah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program yang membabitkan seramai lebih kurang 200 orang peserta ini bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan mahasiswa untuk merasai sendiri kehidupan masyarakat kampung yang hidup susah dengan mengusahakan tanaman padi dan kelapa sawit. Program ini juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk berinteraksi dengan komuniti luar yang banyak mencorak keadaan persekiran masyarakat sesuatu tempat sekaligus mampu memberi kemahiran insaniah kepada mahasiswa untuk lebih yakin apabila berada dalam masyarakat selepas keluar dari kampus suatu hari nanti.

Sepanjang berada di kampung, pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti wayang pacak, ceramah kesihatan, ceramah 1 Malaysia, bacaan Yassin dan Tahlil, Malam Kebudayaan, gotong-royong, rewang, sukaneka, pertandingan mewarna, pameran dan demonstrasi daripada Bomba dan anjing pengesan dan Road Tour Kebajikan dan sebagainya. Sepanjang berada di kampung juga, para peserta berpeluang mengikuti keluarga angkat masing-masing ke bendang padi untuk merasai sendiri kehidupan sebagai pesawah.

Program berbentuk khidmat masyarakat ini dilihat mampu merapatkan hubungan antara golongan mahasiswa yang terdiri daripada pelbagai kaum dengan penduduk kampung sekaligus menepati konsep 1 Malaysia yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri. Penglibatan peserta daripada pelbagai kaum seperti India, Cina dan Sabah dan Sarawak ini menjadikan Baktisiswa Perdana ini unit dan menarik. Kebanyakkan penduduk kampung berterima kasih kepada pihak penganjur kerana memilih Kampung Sepakat Jaya sebagai tempat untuk melakasanakan program. Rata-rata penduduk berpuas hati dengan program yang dilaksanakan ini dan berharap program sebegini dijalankan lagi di kawasan ini.

Majlis perasmian dan penyerahan anak angkat

Ucapan wakil daripada UPSI


Gimik perasmian 

Pemeriksaan kesihatan percuma

Pertandingan mewarna

Sukaneka

Rewang bersama penduduk kampung

Malam Kebudayaan

Bersama YB Nizar (Ahli Parlimen Parit) di bendang

Aktiviti Road Tour Kebajikan

Pertunjukan anjing pengesan oleh PDRM

Permainan Tradisional Perlu Dipertahankan

Wakil SRN daripada UPSI

Sejak zaman dahulu lagi mainan tradisional merupakan permainan utama yang dimainkan oleh penduduk di tanah Melayu untuk mengisi masa lapang. Permainan ini merupakan permainan yang diwarisi sejak turun-temurun daripada satu generasi ke generasi yang lain. Namun, sejak kebelakangan ini, mainan tradisional mula dilupai oleh golongan muda akibat daripada perubahan zaman yang lebih menumpukan kepada permainan moden.

Menyedari hakikat ini, Pihak Sekretariat Rukun Negara Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama daripada pihak Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (JPNIN) dan Jabatan Warisan Negara menganjurkan program Sukan Rakyat 1 Malaysia pada 10 Disember sehingga 12 Disember 2010 bertempat di Universiti Sains Malaysia Kampus Nibong Tebal. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang permainan tradisional yang terdapat di Malaysia. Selain itu, program ini juga mampu membudayakan permainan tradisional untuk semua kaum di Malaysia selaras dengan konsep 1 Malaysia.

Sepanjang dua hari berlangsung, para peserta diberi taklimat tentang jenis-jenis dan syarat-syarat permainan tradisional mengikut piawaian yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Warisan Negara. Selepas itu, para peserta ditunjukkan cara permainan tradisional dimainkan melalui demonstrasi yang dilakukan oleh pegawai-pegawai yang dilantik. Sebanyak sepuluh permainan tradisional telah dipilih oleh pihak penganjur untuk diketengahkan dalam program ini iaitu ketingting, gusti lengan, galah panjang, laga ayam, sepak raga, konda-kondi, ketuk keli, congkak, dam haji dan batu seremban.

Program ini telah telah disertai oleh beberapa buah IPT seperti Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Mara (uitm Perlis), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dan Universiti Malaysia Pahang (UMP). Pihak UPSI telah menghantar seramai 25 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli SRN bersama-sama dengan seorang pegawai pengiring. Kemuncak program ini ialah pertandingan sukan tradisional bersama komuniti setempat yang disaksikan oleh pegawai-pegawai daripada JPNIN.
 Fasilitator menunjukkan permainan Laga Ayam


Taklimat permainan tradisional  

Pertandingan Konda-Kondi

Antara peserta bersama komuniti setempat

Pertandingan Laga Ayam

Tuesday, December 7, 2010

Mahasiswa Perlu Berhijrah

Hari ini 1 Muharam menandakan bermulanya tahun baru 1432H dalam kalander Islam. Ketibaan tahun baru ini disambut oleh semua umat Islam di seluruh pelusuk dunia bagi meraikan sekaligus menghayati erti hijrah yang sebenarnya. Ketibaan bulan Muharam ini sebenarnya menceritakan banyak peristiwa yang menggambarkan kesungguhan dan kecekalan junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehinggalah Islam disegani dan digeruni seluruh dunia. Peristiwa hijrah juga membuktikan bahawa semangat pengorbanan diperlukan dalam memenuhi tuntutan agama.

Namun tuntutan hijrah pada masa masa kini lebih jauh berbeza dengan tuntutan hijrah pada era Mekkah dan Madinah pada zaman Rasulullah S.A.W dan para sahabat. Dengan senario keadaan sekarang yang penuh dengan cabaran dan dugaan, mahasiswa perlu lebih bersedia dalam menghadapi dan mengharunginya secara tabah. Mahasiswa juga perlu melakukan perubahan dalam diri mereka bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus globalisasi yang serba mencabar ini dengan melakukan transformasi dalam semua aspek kehidupan merangkumi cara hidup, berfikir dan bertindak supaya ianya selaras dengan tuntutan agama.

Jika dilihat pada masa sekarang, masalah sosial merupakan perkara utama yang melanda golongan mahasiswa tidak kira di mana-mana IPTA/S sekalipun. Masalah ini seolah-olah menjadi duri dalam daging pada golongan mahasiswa walaupun pada hakikatnya golongan ini merupakan golongan yang mempunyai intelek yang tinggi. Jika masalah ini melanda golongan yang tidak berpendidikan tinggi boleh dimaafkan lagi kerana mungkin mereka tidak mempunyai pengetahuan yang jelas dan mendalam tentang agama berbanding denga golongan mahasiswa. Kini berbagai-bagai masalah sosial sudah menular dalam kalangan mahasiswa seperti bohsia, khalwat, zina, buang bayi, dadah, minum arak, pelacuran dan sebagainya.

Oleh itu, semua mahasiswa wajib menghayati erti peristiwa hijrah ini dalam kehidupan untuk melakukan perubahan supaya kita tidak akan terus bergelumang dengan dosa sekaligus akan menghancurkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Kita sebagai mahasiswa sebenarnya cerminan masa hadapan negara dan jika mahasiswa pada zaman sekarang hanyut dengan godaan dunia, masa depan negara mungkin akan terjejas dan tidak menentu. Mahasiswa seharusnya tahu tentang batas-batas pergaulan dan bijak membuat keputusan dalam sesuatu perkara. Kekuatan jati diri juga perlu dalam menangkis segala bentuk pengaruh dan budaya kuning yang sentiasa mendekati diri mahasiswa.

Dalam aspek pemikiran pula, mahasiswa perlu lebih kreatif dan inovatif dalam semua aspek terutamanya pada zaman sekarang yang serba mencabar. Pemikiran kelas pertama harus dipupuk bagi memastikan mahasiswa zaman sekarang lebih kompiten sekaligus menghasilkan mahasiswa yang betul-betul berkualiti. Kita seharusnya mencontohi bagaimana pemikiran orang Jepun yang sentiasa melakukan perubahan dan konsisten dalam melakukan sesuatu kerja sehinggakan mereka menjadi rakyat yang disegani seluruh dunia. Semangat dan iltizam yang tinggi inilah sepatutnya menjadi contoh kepada mahasiswa untuk digarap dalam kehidupan seharian dan bukannya mencontohi budaya barat yang penuh dengan hiburan semata-mata.

Sempena sambutan Maal Hijrah ini, penulis mengajak semua mahasiswa agar dapat merenung kembali segala tindakan kita pada tahun lepas dan kembali merancang untuk membuat penambahbaikkan untuk tahun ini. Jadikan segala peristiwa dan perbuatan tahun lepas sebagai pengajaran dan berusaha untuk memastikan tahun ini sebagai tahun yang memberi perubahan ke arah kebaikan. Sesungguhnya manusia yang baik itu sentiasa belajar daripada kesilapan serta jadikanlah hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Semoga kedatangan tahun baru 1432H ini memberi sejuta kerahmatan dan hidayah daripada Allah dan kita sama-sama berusaha untuk melakukan perubahan dalam kehidupan seharian...

Salam Maal Hijrah 1432


Selamat menyambut kedatangan tahun baru 1432H kepada semua mahasiswa semoga tahun ini banyak memberi kebaikan dan kejayaan yang lebih bermakna. Jadikan tahun lepas sebagai panduan dan pedoman dalam memastikan kehidupan tahun ini lebih baik. Salam Maal Hijrah daripada Suara Pendidik..

Monday, December 6, 2010

Rombakan Takwim Akademik: Ramai Membantah

Sejak tersebarnya maklumat berkaitan dengan takwim akademik bagi sesi 2011/2012, banyak respon yang diterima daripada mahasiswa. Ramai yang mempersoalkan tujuan rombakan ini dibuat tanpa sebarang perbincangan dengan pihak pelajar. Walau bagaimanapun terdapat juga mahasiswa menyokong dengan dasar baru yang dibuat oleh pihak universiti ini.

Takwim yang terbaru ini tidak mendapat sokongan  daripada mahasiswa terutamanya yang berasal dari Sabah dan Sarawak kerana tarikh sambutan Hari Gawai (Sarawak) dan Pesta Keamatan (Sabah) jatuh pada hari kuliah. Perkara ini menjadi tanda tanya daripada mahasiswa bahawa adakah pihak pentadbiran terlepas pandang dalam merangka takwim ini ataupun menganggap perayaan ini tidak sepenting sambutan Aidilfitri, Aidiladha, Deepavali dan Tahun Baru Cina. Bagi penulis, sepatutnya pihak universiti lebih peka dan sensitif terutamanya berkaitan dengan keagamaan kerana ianya adalah merupakan perkara utama yang diperjuangkan oleh pihak kerajaan pada masa sekarang untuk memupuk perpaduan dan persefahaman antara kaum, bangsa dan agama di Malaysia.

Selain itu, ada juga mahasiswa juga membangkitkan soal tempoh praktikal yang akan dijalankan selepas ini. Jika  semester bermula pada bulan September, ini akan banyak memberi masalah kepada guru-guru pelatih untuk melaksanakan praktikal kerana pada masa tersebut pelajar-pelajar lebih tertumpu kepada peperiksaan sama ada peperiksaan utama dan sebaliknya. Selain itu juga, masa untuk menjalankan praktikal selama 14 minggu juga tidak sempat dihabiskan kerana penggal persekolahan akan tamat menjelang awal November. Cuti yang semester pertama yang singkat juga iaitu selama seminggu juga mendapat rungutan daripada kebanyakan pelajar kerana terlalu pendek berbanding dengan sebelum ini.

Bagi penulis, banyak perkara yang harus diteliti dan dikaji sebelum melaksanakan sesuatu dasar baru kerana ianya berkaitan dengan kebajikan mahasiswa. Pihak universiti juga perlu lebih peka terhadap perkara-perkara yang boleh menimbulkan isi-isu sensitif terutamanya yang berkaitan dengan agama kerana ianya boleh memberi kesan buruk jika diabaikan.

Thursday, December 2, 2010

Rombakan Takwim Akademik

Jika sebelum ini sesi permulaan akademik akan bermula pada bulan Julai, namun mulai tahun depan pengambilan pelajar baru bagi sesi 2011/2012 akan bermula pada bulan September. Hal ini bermakna, mulai tahun depan juga terdapat sedikit rombakan takwim akademik akan dilakukan bagi menyelaraskan kalendar akademik.

Sebelum ini saya pernah terdengar daripada beberapa orang pegawai tentang perubahan takwim akademik ini tetapi tidak memandang serius tentang ini kerana beranggapan bahawa ini semua adalah peringkat cadangan dan khabar angin sahaja. Namun sejak akhir-akhir ini isu tentang rombakan takwim akademik ini menjadi buah mulut dalam kalangan mahasiswa. Hal ini menyebabkan saya terpanggil untuk berkongsi pendapat dengan semua mahasiswa UPSI dalam isu ini.

Menurut pegawai yang saya kenali, rombakan akademik ini dilakukan supaya berlaku keselarasan antara  kalendar akademik antara universiti dalam negara dan luar negara. Keselarasan  ini penting untuk menarik pelajar asing untuk menyambung pengajian di Malaysia terutama di UPSI. Seperti sedia maklum, kini setiap IPTA berebut-rebut untuk mendapatkan pelajar-pelajar asing untuk ditawarkan menyambung pelajaran dalam pelbagai bidang. Namun sejauh mana kesahihan maklumat ini masih belum dipastikan lagi.

Namun berdasarkan maklumat yang saya perolehi, mulai sesi 2011/2012, sidang akademik akan bermula pada 12 September 2011 sehingga 20 Januari 2012 bagi semester pertama. Selepas ini kita akan bercuti selama seminggu (cuti semester) sebelum meneruskan semester 2 pada 20 Februari 2012 sehinggalah 22 Jun 2012. Berdasarkan takwim baru ini, jumlah cuti semester pertama adalah singkat berbanding dengan sistem yang lama. Maklumat tentang perubahan dan rombakan ini belum dimaklumkan secara rasmi lagi oleh pihak akademik UPSI.

Harapan saya semoga perubahan yang dibawakan ini mampu memberi kebaikan dan kemudahan kepada pelajar dan bukannya menimbulkan satu masalah baru kepada pelajar kelak. Kita juga sebagai pelajar juga perlu sentiasa berfikiran positif untuk menerima dan menghadapi perubahan yang akan dihadapi...sekian..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...