Sunday, November 21, 2010

Wajib Baca Al-Quran Setiap Sekolah Di Terengganu

Sepanjang minggu lepas saya tertarik dengan berita mengenai langkah yang murni oleh Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Razali Daud mengenai pembacan Al-Quran selama 10 minit sebelum sesi pengajaran bermula. Hal ini bermakna mulai sesi 2011, semua sekolah di negeri Terengganu akan memulakan sesi pembelajaran dengan membaca Al-Quran selama 10 minit bagi yang beragama Islam. Bagi murid-murid yang bukan beragama Islam terutamanya di sekolah jenis kebangsaan, ustaz akan digunakan untuk menguruskannya secara berkumpulan.

Menurut Razali, aktiviti ini adalah sebahagian daripada pihak JPNT untuk memberi penekanan yang serius kepada pembangunan sahsiah seiring dengan kecemerlangan dalam bidang akademik. Selain itu juga, aktiviti ini mampu melahirkan pelajar yang berakhlak mulia sekaligus dapat mengurangkan masalah disiplin dan sosial yang berlaku dalam kalangan murid-murid pada zaman sekarang.

Pada pandangan saya, tindakan JPNT adalah wajar dan patut dicontohi oleh semua negeri kerana impaknya sangat besar terhadap murid-murid untuk melahirkan modal insan yang seimbang dalam semua aspek. Dewasa kini, banyak kita lihat masalah disiplin dan sosial pelajar yang berlaku sehingga di luar pemikiran kita. Banyak masalah disiplin seperti ponteng, merokok, membuli, vandalisme dan banyak lagi sering berlaku dan dilaporkan di dalam media massa. Selain itu, masalah sosial yang semakin teruk dalam kalangan murid-murid kita zaman sekarang sangat membimbangkan.

Dalam membendung dan mengatasi masalah ini secara menyeluruh, penyelesaian yang terbaik seharusnya kita mengenal pasti punca sebenar masalah ini berlaku. Jika kita dapat mengawal masalah ini di peringkat awal lagi, saya pasti masalah ini tidak akan berlaku. Langkah yang dijalankan oleh pihak JPNT adalah tepat pada masanya kerana dalam keadaan moral murid-murid semakin jatuh, aktiviti ini dijalankan. Walaupun dilihat agak terlambat, tetapi sekurang-kurangnya ia mampu mengawal masalah ini supaya tidak menjadi semakin parah.

Dengan langkah ini, penerapan nilai keagamaan akan dapat melahirkan murid-murid yang menghayati nilai-nilai keagamaan dan mengatasi masalah murid-murid yang buta Al-Quran. Pelaksanaan aktiviti ini oleh pihak JPNT dilihat mampu meningkatkan pencapaian murid-murid dalam peperiksaan sekaligus melonjakkan nama negeri Terengganu sebagai negeri yang melahirkan murid-murid yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi mempunyai akidah dan akhlak yang tinggi selaras dengan visi kerajaan negeri menjadikan negeri Terengganu sebagai negeri Ulul Albab...

Sunday, November 14, 2010

Simbolik Hari Raya Aidiladha

Setiap tahun umat Islam akan menyambut Hari Raya Korban ataupun Hari Raya Aidiladha. Aidiladha membawa erti yang besar kepada umat Islam di seluruh dunia. Hari Raya Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Haji sempena umat islam mengerjakan haji di Tanah Suci, Mekah.


Hari Raya Aidiladha ini adalah berkaitan dengan peristiwa Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail selepas menerima wahyu daripada Allah. Peristiwa ini bermula apabila Nabi Ibrahim bermimpi bahawa Allah menyuruhnya menyembelih anaknya Nabi Ismail. Selepas mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim memberitahu isterinya Siti Hajar tentang mimpinya. Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar berbincang tentang mimpi tersebut.Selepas berbincang akhirnya Nabi Ismail merelakan dirinya disembelih kerana percaya ini adalah wahyu daripada Allah.


Pada keesokkan harinya, Nabi Ibrahim membawa puteranya untuk disembelih. Perkara ini telah sampai ke pengetahuan orang ramai sehingga mereka mengatakan Nabi Ibrahim ini gila kerana sanggup membunuh anaknya.Nabi Ibrahim tetap menjalankan wahyu yang diturunkan oleh Allah walaupun pelbagai tuduhan dilemparkan kepadanya. Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya, “Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku.”


Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah S.W.T perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.

Tetapi alangkah terperanjatlah apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah S.W.T, kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat dari Allah S.W.T.(Peristiwa ini ada diterangkan dalan surah Ash-Shaffat ayat 101 hingga ayat 111)
Berdasarkan daripada peristiwa diatas menunjukkan ketaatan Nabi Ibrahim terhadap Allah. Pada perayaan Hari Raya Korban ini kita akan teringat kepada peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail serta menyembelih binatang korban dan  dagingnya untuk diagihkan kepada fakir miskin. Tetapi erti pengorbanan adalah luas dan patut difahami oleh semua umat Islam.
Dalam Konteks mahasiswa, kita sepatutnya perlu menghayati erti pengorbanan yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Sebagai seorang yang berpendidikan, kita mesti mempunyai semangat dalam diri untuk mempertahankan Kesucian islam daripada dicemari dengan perkara-perkara yang boleh menjatuhkannya. Jika kita menghayati erti pengorbanan yang sebenar, masalah sosial yang berlaku dalam kalangan mahasiswa pada masa kini dapat diatasi sekaligus mampu melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga dalam sahsiah. Masalah zina, khalwat, buang bayi dan bunuh juga tidak akan berlaku jika kita semua memahami dan menghayati erti pengorbanan yang sebenar.
Oleh itu, sebagai seorang mahasiswa yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, kita Wajib mengambil iktibar daripada peristiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ini untuk dijadikan teladan kepada kita semua dalam menjalani kehidupan pada zaman serba mencabar ini yang penuh dengan tipu daya dunia demi mempertahankan kesucian Agama Islam.
Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha.....


Selamat Mengulangkaji Pelajaran



Seperti biasa selepas 14 minggu menempuh kuliah, pelajar akan diuji dengan soalan peperiksaan untuk menilai sejauh mana mereka memahami dan mengetahui tentang isi-isi pembelajaran yang talah dipelajari. Peperiksaan inilah akan dijadikan pengukuran kepada pencapaian pelajar dalam kursus yang diambil sama ada dia lulus ataupun sebaliknya. Oleh itu, peperiksaan sangat penting kepada pelajar untuk menentukan masa depannya.

Dalam menghadapi peperiksaan, pembelajaran yang berkesan perlu ada dalam diri pelajar. Memang diakui bahawa semua pelajar sudah biasa dan berpengalaman dalam menghadapi peperiksaan daripada UPSR, PMR, SPM STPM/STAM dan sebagainya. Namun, di universiti terdapat sedikit perbezaan berbanding peperiksaan awam yang kita semua ambil. Oleh itu, mengulangkaji secara berkesan adalah penting bagi memastikan kita semua mendapat keputusan yang cemerlang.


Berikut adalah tips FOKUS AWAL DALAM MENGULANGKAJI PELAJARAN yang boleh dikongsi bersama demi kebaikan kita bersama:

1. Awalkan dengan DOA dan BERWUDHUK (KEBERKATAN)


Amalkan rutin mengulangkaji secara KEBERKATAN ini di dalam diri anda. In kerana terlalu ramai pelajar-pelajar yang cemerlang dan berjaya meletakkan Ketuhanan sebagai panduan awal pembelajaran supaya ilmu yang kita pelajari mendapat Keberkatan dan Redha. Mudah sahaja... Ambil Wudhuk dan Doa.... Walaubagaimanpun ramai yang sukar mengamalkannya....


2. Tak perlu terlalu LAPAR dan KENYANG (KESELESAAN)


Perut yang terlalu kenyang dan terlalu lapar adalah perkara yang membawa kepada ketidakselesaan di dalam mengulangkaji pelajara anda. Ini kerana fikiran yang memberi fokus kepada ULANGKAJI akan beralih kepada perkara LAPAR dan KENYANG. Mulalah anda akan merungut seperti : KENYANG - Bertukar kepada MENGANTUK dan LAPAR - Bertukar kepada MAKANAN. 


3. KURANGKAN mendekati HANDSET/INTERNET/TV/RADIO dan Lain2 yang boleh menghilangkan FOKUS mata dan pendegaran(FOKUS)


Sekarang ramai pelajar yang suka mengulangkaji dengan pelbagai alatan-alatan teknologi dan ia menjadi satu SINDROM yang membawa kepada hilangnya Fokus Study. Saya tidak menghalang penggunaan alatan seperti ini di dalam mengulangkaji kerana ia juga boleh di jadikan suatu prkara menghilangkan BORING,JEMU,TERTEKAN dan sebagainya. Yang saya ingin tekankan KURANGKAN dan MINIMAKAN penggunaannya. Contoh apabila handset di tangan.. mulalah menekan SMS dan ketawa sorang diri.. Akhirnya melebihkan kepada bersembang melalui SMS. Apa yang terjadi? FOKUS hilang...


4. Pilihlah WAKTU dan TEMPAT sesuai di dalam Mengulangkaji Pelajaran (SEMANGAT)


Saya akui seorang pelajar akan terasa Malas apabila badan mula letih dan persekitaran tidak membina untuk belajar. Pilihlah Waktu dan Tempat yang sesuai di dalam anda mengulangkaji pelajaran. PENTING.. Impak belajar berkesan apabila anda mempunyai SEMANGAT di dalam ulangkaji. 


5. Tidak perlu dekati dari KAWAN yang TIDAK STUDY semasa anda INGIN STUDY


Saya tidak menyatakan anda tidak boleh berkawan dengan rakan-rakan yang Tidak Study dan Asyik Bermain. Saya mengharapkan anda tidak mendekati mereka semasa anda berkobar-kobar untuk Study.. Ini kerana anda akan mula di pengaruhi walaupun anda tidak melakukan reaksi untuk bersama mereka. Inilah di katakan kesan PENGARUH BELAJAR. ANDA BOLEH BERKAWAN dengan MEREKA tetapi PILIHLAH MASA SESUAI untuk bersama MEREKA. 

Semoga dengan tips yang dikogsi ini dapat digunakan dan dijadikan panduan kepada semua...Selamat mengulangkaji pelajaran dan menduduki peperiksaan...Ingat!!, kita mampu berusaha tetapi tuhan akan menentukan segalanya....

Sumber: Muizmukhtar

Friday, November 12, 2010

Pendaftaran Kursus Ditutup Sementara

Selepas beberapa hari masalah pendaftaran kursus ini dibangkitkan dan diluahkan oleh semua pelajar, hari ini pihak akademik mengeluarkan arahan yang menyatakan sistem akan ditutup untuk dibaiki kerana mengalami masalah teknikal. Araha yang dikeluarkan melalui UPSI Portal ini sebenarnya sedikit sebanyak melegakan pelajar-pelajar yang sedang bergelut dengan masalah ini. Arahan penutupan sistem pendaftaran secara online ini bermula jam 8 pagi sehingga jam 12 tengahmalam pada hari ini (Jumaat).

Masalah pendaftran kursus kali dilihat paling bermasalah berbanding tahun-tahun yang lepas. Walaupun sebelum ini masalah ini telah berlaku pada semester-semester yang lepas, namun perubahan yang dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab juga nampaknya tidak kelihata. Pendaftaran yang dijalankan secara serentak pelajar-pelajar semester satu, dua dan tiga sebenarnya tidak efisyen kerana jumlah pelajar yang akan memasuki sistem bertambah sekaligus mengundang kepada permasalhan ini. Seharusnya pihak akademik menjalankan pendaftaran kursus ini mengikut semester supaya masalah kesesakan ini dapat dikurangkan.

Harapan kami daripada pelajar agar selepas dibaik pulih, sistem pendaftaran secara online ini dapat berfungsi dengan baik. Hal ini penting supaya memudahkan pelajar menyelesaikan pendaftaran kursus dengan cepat untuk memberi tumpuan pula kepada peperiksaan akhir semester.

Biasiswa KPM Akan Diteruskan 2011

Berita baik kepada pelajar UPSI terutamanya pelajar ambilan Julai 2010/2011 apabila KPM dijangka akan meneruskan biasiswa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang dihentikan pada tahun ini. Biasiswa KPM ini merupakan penajaan pelajaran yang disediakan kepada semua mahasiswa daripada program pendidikan di setiap IPT yang layak selepas menjalani beberapa tapisan yang dilakukan oleh pihak KPM. Biasiswa KPM ini adalah antara penaja utama pelajar-pelajar UPSI sebelum dihentikan kerana terdapat masalah yang tidak diketahui.

Ramai berpendapat bahawa biasiswa ini dihentikan kerana masalah ketidakstabilan ekonomi negara sehingga KPM tidak mampu meneruskannya. Walaupun masalah ini telah beberapa kali telah dirujuk kepada KPM untuk memberi penjelasan oleh pihak kepimpinan pelajar UPSI tetapi pihak KPM seolah-olah mendiamkan diri sahaja. Keputusan KPM menghentikan biasiswa KPM ini sebenarnya banyak memberi impak kepda palajar-pelajar program pendidikan di seluruh IPT terutamanya berkaitan moral dan motivasi mereka untuk menjadi guru. Hal ini kerana ia menunjukkan kesungguhan pihak KPM terhadap bakal pendidik daripada IPT yang dilihat semakin kurang.

Walau bagaimanapun, keputusan KPM untuk meneruskan biasiswa pada tahun hadapan disambut baik oleh pelajar-pelajar UPSI. Biasiswa KPM ini merupakan pilihan pelajar kerana kedudukan mereka selepas pengajian akan lebih terjamin. Diharap dengan adanya biasiswa KPM ini akan memberi sedikit semangat dan motivasi kepada bakal-bakal guru untuk berkhidmat dalam memajukan pendidikan negara.

Sumber: YDP MPP UPSI SESI 2009/2010

Thursday, November 11, 2010

Masalah Pendaftaran Kursus makin Parah

Sejak perlaksanaan sistem pendaftaran kursus secara terbuka dimulakan, kelihatan pelbagai kesulitan telah timbul terutamanya kepada pelajar. Walaupun sistem pendaftran secara terbuka ini merupakan satu langkah kearah mentransformasikan sistem pembelajaran di UPSI, namun pelbagai aspek perlu diberi perhatian oleh pihak akademik terutamanya berkaitan dengan masalah sistem.

Masalah pendaftaran kursus ini bukan merupakan suatu isu baru kerana sebelum ini juga masalah ini turut berlaku. Persoalannya sekarang adakah pihak akademik melihat segala masalah yang timbul sebelum ini untuk menjalankan penambahbaikkan bagi memastikan masalah yang lepas berulang??Adakah pihak akademik mendengar segala rungutan pelajar berkaitan dengan masalah pendaftaran kursus ini??Adakah pihak Akademik berbincang dengan pihak ICT bagi memastikan masalah yang sama tidak akan berulang??

Baru-baru ini isu tentang masalah pendaftaran kursus ini telah diusulkan dalam Sidang Dewan Pendidik (SDP) oleh saya yang turut dihadiri oleh wakil daripada pihak akademik dan Pengarah Pusat ICT. Walaupun semua Presiden Persatuan dan pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sendiri telah menyatakan sokongan dengan usul yang dibawakan sehingga hampir dua jam usul ini membahaskannya, namun perubahan yang dilakukan juga tidak kelihatan. Menurut Pengarah ICT, jumlah pengguna yang ramai menyebabkan sistem tidak mampu menampungnya. Selain itu juga, beliau memberitahu bahawa kesesakan juga berlaku akibat daripada pelajar-pelajar membuka facebook, youtube dan lain-lain laman web yang tidak perlu.

Bagi pihak akademik pula menyatakan bahawa pihaknya tidak menerima apa-apa rungutan tentang masalah ini daripada pegawai-pegawainya. Sambil mempertahankan sistem pendaftaran secara terbuka ini mampu memberi kebaikan dan kebebasan kepada pelajar apabila mereka dapat memilih subjek yang hendak diambil mengikut waktu tertentu dan mampu memberi peluang pelajar menamatkan pelajaran hanya tiga tahun setengah. Tetapi yang menimbulkan kehairanan saya bagaimana pelajar hendak menamatkan pelajaran jika jumlah jam kredit telah ditetapkan oleh pihak akademik. Adakah ini dikatakan kebebasan sedangkan jumlah jam kredit dihadkan.

Sepatutnya pihak akademik terlebih dahulu menjalankan kajian yang menyeluruh tentang perlaksanaan sistem pendaftaran kursus secara terbuka ini kerana terdapat banyak kelemahan. Selain itu, kesediaan dalam menjalankan sistem ini juga tidak sistematik sehinggakan pelajar terpaksa menanggung segala kesulitan akibat daripada kelemahan pihak akademik. Perlaksanaan sistem secara terbuka ini juga banyak ditentang oleh pensyarah kerana menyebabkan sistem pembelajaran yang tunggang-langgang dan tidak sistematik sekaligus menyebabkan kualiti pembelajaran dan guru yang akan dilahirkan adalah rendah.

Secara keseluruhannya, saya bukan hendak menuding jari dan menyalahkan sesiapa tentang masalah ini tetapi mengharapkan semua pelajar mengetahui keadaan yang sebenar berdasarkan pengetahuan dan maklumat yang saya perolehi daripada SDP. Kepada pelajar-pelajar yang mengalami masalah ini diharap anda bersabar dan kita sama-sama mencari jalan penyelesaian secara bijak dan berkhemah dalam menyelesaikan masalah ini. Jika kita tidak dapat merasai perubahan yang akan dilakukan, biarlah adik-adik kita dapat merasai perubahan yang dibawa berdasarkan perjuangan kita semua pada hari ini. Jangan biarkan masalah yang kita hadapi hari ini akan turut dirasai oleh adik-adik kita akan datang...

sekian...

Wednesday, November 10, 2010

Salam Perkenalan Daripada Suara Pendidik


Salam perkenalan dan salam 1 Malaysia daripada Suara Pendidik.

Suara pendidik adalah sebuah blog yang dihasilkan untuk perkongsian pendapat tentang segala perkara yang berkaitan dengan mahasiswa terutamanya yang berada di upsi. Blog ini juga bukan dihasilkan untuk kepentingan tertantu tetapi sekadar membuka minda mahasiswa berkaitan dengan segala masalah, hak dan kebajikan mahasiswa yang mungkin mereka tidak ketahui. Blog ini juga bertujuan untuk mengasah kemahiran menulis berdasarkan idea dan pendapat berdasarkan perspektif mahasiswa itu sendiri. Harapan saya semoga sume mahasiswa dapat mencari sebanyak mungkin  maklumat dalam membuat sesuatu keputusan dan pertimbangan..Saya juga mengalu-alukan segala maklumat dan permasalah daripada anda semua untuk dikupas dalam blog ini. Semoga apa yang ditulis ini mampu membuka sedikit minda kita sebagai seorang mahasiswa untuk bergerak setapak ke hadapan dalam menjalani kehidupan di zaman globalisasi ini...Sekian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...